Monday, September 11, 2017

Puisi : Prosa Buat Mereka Yang Berlindung Di Bawah Tudung Saji

Photo Credit : Johnny Marr Plays Guitar

Prosa Buat Mereka Yang Berlindung Di Bawah Tudung Saji

Hirarki yang kita duduki kini sentiasa disaluti dengan gula tipu daya. Dalam susur galur kriminologinya, yang terpedaya sering menjadi habuan sang algojo untuk dipancung. Manakala yang memperdaya ketawa terbahak-bahak sambil kaki bersilang di atas meja. Mereka sering mencemuh dan ketawa tak berakal. Namun kenapa mesti menjilat ludah sendiri? Sedangkan yang ditertawakan adalah sahabat-sahabat sekandung.

Airmatamu adalah secangkir teh yang kuhirup di waktu senja. Jarak antara kita hanyalah sekadar sesuap nasi. Kesedihan kita adalah produk yang tidak lagi laku di pasaran buat mereka. Marilah kerambitmu, datang menoreh setiap jasad polos kami. Tetapi hairan kami masih lagi bertapak di sini. Kenapa perlu kau hunus jiwa kami dengan keris egomu? Sedangkan kau masih lagi mencungkil neraka di matamu sendiri. 

Kami asalnya adalah gipsi yang sering merasa bertuah, menari di atas tanah sendiri. Muzik Bohemian kami adalah laungan buat alam semesta merasai kedukaan kami. Rentak hidup kami sering kau elakkan. Umpama bunyi bising yang menjengkelkan. Tidakkah kita merasa udara yang sama? Segar mahupun sesak, tetap pilihannya sekata. Sedangkan kau sering mencekik kami ketika tidur. Satu demi satu kami mati dan sekadar meninggalkan digit-digit di dalam statistikmu.

No comments:

Post a Comment

silakan memberi sebarang komen...whether it's good or bad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...